Pages

Monday, August 13, 2012

Tangan Panjang??

Assalamualaikum wbt

Cerita ni berlegar-legar di kepala mutaakhir ini =)..

***************

Telah diriwayatkan dalam sebuah hadith Rasulullah SAW, bahawa kebanyakan isteri-isteri Rasulullah SAW adalah dalam usia muda belaka, sedangkan Rasulullah telah menjangkau usia tua. Mereka membayangkan bahawa seandainya Allah SWT mewafatkan Rasulullah ketika itu, pastilah mereka akan menjadi balu dalam usia muda belaka. 

Kebanyakan mereka berharap jika Allah mengizinkan maka inginlah mati bersama-sama Rasulullah, kerana jika mereka mati dahulu akan dapat segera bertemu Rasulullah semula. Lantaran itu, ada di antara mereka yang berbincang sesama sendiri siapakan yang akan pulang ke hadrat Allah seiring dengan kewafatan Rasulullah.

Pada suatu ketika, para isteri Rasulullah SAW telah bertanyakan kepada Nabi, siapakah di antara mereka yang akan dimatikan Allah seiring kewafatan Rasulullah SAW. Rasulullah SAW telah memberitahu para ummahatul mukminin itu, bahawa isteri Nabi yang akan kembali ke Rahmatullah seiring kewafatan Nabi ialah mereka yang "tangan panjang" yang akan cepat jumpa Rasulullah. 

Sebaik sahaja mereka mendengar jawapan Rasulullah SAW itu, mereka pun berpakat dan bergilir-gilir untuk mengukur tangan-tangan mereka, siapakah di antara mereka yang panjang tangan. Lalu, mereka dapati bahawa Siti Sa'odah yang tangannya lebih panjang dari kalangan isteri-isteri Nabi. 


Tetapi selepas beberapa ketika Rasulullah wafat, tiba-tiba mereka dapati mereka yang segera menyusul pulang ke rahmatullah bukannya Siti Sa'odah, sebaliknya yang mati dahulu adalah Zainab. Dengan peristiwa itu, mereka memikirkan semula apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan  "tangan panjang" oleh Rasulullah SAW itu. 

Isteri Rasulullah SAW yang bernama Zainab itu mengikut riwayat mempunyai perusahaan sendiri. Beliau seorang pengusaha kulit dan peniaga kulit-kulit binatang. Perniagaannya sangat maju kerana penggunaan kulit ketika itu sangat meluas. Kesannya, kurang kebergantungan Zainab dengan pemberian dari suami sendiri iaitu Rasulullah SAW sendiri. 

Justeru, Zainab telah menggunakan sebahagian besar dari laba keuntungan perniagaannya untuk berderma dan bersedekah membantu orang-orang susah dan sebagainya. Maka terkenallah di kalangan isteri Nabi SAW yang memanjangkan tangan menghulurkan bantuan ialah Zainab. 

Dengan demikian, maka fahamlah para ummahatul mukminin bahawa yang dimaksudkan "tangan panjang" itu bukan ukuran pada fizikal yang panjang, sebaliknya ia membawa erti tangan yang banyak memderma, memanjangkan tangan membantu dan berbuat kebajikan untuk meringakan penderitaan orang lain. 

Peribahasa "tangan panjang" yang diberitahu oelh Rasulullah SAW itu amatlah berbeza dengan "tangan panjang" yang menjadi peribahasa orang Melayu, kerana bagi orang Melayu memahami maksud "tangan panjang" itu ialah orang yang mengambil harta benda orang lain di luar pengetahuan pemiliknya, iaitu sebagai pencuri atau penyamun. 

Sumber:
Buku Mutiara 2 Tok Guru.