Pages

Thursday, December 25, 2008

Kita Tak Sama

Assalamualaikum wbt

Manusia adalah alam. Ia bagaikan bintang-bintang di langit. Setiap diri ada kehidupannya sendiri, ada kitabnya sendiri, ada kisah hidupnya yang berlainan walaupun tidur sebantal.
Antara suami dan isteri, antara ibu bapa dan anak-anak, antara abang dan adik, antara teman dan teman....mereka berada di atas pentas yang sama, tapi melakar kisah yang berlainan. mereka menempuh ujian yang sama tetapi dalam wajah yang berbeza. Para sultan, menteri, si kaya dan si fakir adalah sama dalam melalui tribulasi kehidupan. Cuma, ada ujian yang dapat dilihat dan ada yang tertutup.

Abang dan adik, cerita mereka berbeza

Jika hidup tanpa ranjau dan duri, ia bukan kehidupan namanya. Kehidupan adalah perjuangan untuk kehidupan akhirat. Sesiapa yang melaluinya dengan baik, mereka adalah orang yang berjaya dan bahagia.

Jangan kecewa atau sombong dengan kehidupan dunia, ia bukannya hakikat segalanya. Ia hanya secebis kisah kehidupan diri, filemnya terlalu singkat di sini teteapi akan berkekalan di sana. Kematian bukan penghujung kehidupan, bahkan sbeenarnya kematian adalah permulaan kehidupan yang hakiki.

"Dan (balasan) di akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa.." (An-Nisa:77)


Carilah kebenaran kehidupan di sana bukannya di sini. Buatlah perancangan yang rapi agar kehidupan ini membawa kejayaan di sana. Segala perbuatan di sini akan membuahkan gambaran yang hakiki di sana.

Nabi Muhammad SAW mengajak manusia kepada matlamat kehidupan yang jelas. Daripada alam yang sempit dan sementara kepada kehidupan yang luas dan abadi. Ingatlah, manusia mempunyai ceritanya yang sendiri. Di akhirat mereka akan berjalan nafsi-nafsi, kecuali Nabi Muhammad SAW yang mempunyai kemuliaan dan darjat yang tinggi.

Ingatlah, ingatlah...Jangan kecewa dengan kegagalan , kesusahan, kecacatan, kekurangan atau angkuh dengan kejayaan, kekayaan, kelebihan atau kesempurnaan. Ini kerana segalanya hanyalah gambaran ujian, segalanya ilusi kehidupan.

Tajamkan mata hatimu kepada Allah. Perhatikan sedalam-dalamnya kehidupan Nabi-Nabi (as), para sahabat, pada auliya', ulama akhirat dan golongan yang soleh. Belajarlah dengan mereka bagaimana menghadapi dan melalui kehidupan ini.

Jangan terperangkap dengan cara, fahaman, fikiran dan budaya hidup Yahudi dan Nasrani dalam kehidupan. Mereka menyangka bayangan adalah realiti, menyangka dunia adalah hakikat kehidupan, menyangka dunia adalah jawapan segala persoalan, menyangka kehidupan akhirat adalah khayalan. Sesungguhnya Allah adalah haq, firmanNya adalah haq, Nabi adalah haq, kehidupan akhirat adalah haq.

Banyakkan isitighfar, berselawat, beribadah dan berpegang teguhlah dengan aqidah dan syariah. InsyaAllah, Dia akan membuka mata hatimu dengan untuk memandang hakikat yang sebenar-benarnya.

"Demi sesungguhnya! Engkau di dunia dulu berada dalam keadaan lalai tentang (perkara hari) ini, maka Kami hapuskan kelalaian yang menyelubungimu itu, lalu pandanganmu pada hari ini menjadi lebih tajam (dapat menyaksikan dengan jelas segala hakikat)" (Qaaf:22)

Engkau tidak akan menangis dengan kehidupan ini, engkau akan memikul segala keperitan dengan senyuman. Segalanya akan menjadi emas dan permata di akhirat.

Tukarlah tangisanmu, dari tangisan nasib di dunia kepada tangisan nasib yang akan dihadapi di akhirat. Menyesallah sebelum terlambat. Sesungguhnya Nabimu tidak berdusta dengan apa yang dikhabarkan tentang kehidupan. Nabi Muhammad SAW amat menyayangi umatnya tetapi ramai umatnya kini yang tidak menghargai kasih sayang baginda. Janganlah kamu menjadi golongan yang tidak menghargai kasih sayang baginda SAW.

" Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman."(At-Taubah:128)


Wallahu'alam

Petikan daripada buku "Bicara Sirr" tulisan Tuan Haji Ibrahim Mohamad

0 comments: