Pages

Sunday, August 29, 2010

.::Rasa::.

Assalamualaikum wbt

Sharing lagi.. taken from here

************************

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Demi Tuhanku yang diriku di bawah penguasaan-Nya dan sentiasa dalam pengawasan-Nya, aku tidak menulis melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Nya dan dengan izin-Nya. Sesungguhnya aku menulis dengan penuh kasih sayangku kepadamu sebagai seorang sahabat, sebagai seorang saudara seagamaku. Aku tidak inginkan melainkan kebaikan bagi dirimu dan bagi diriku agar kita sama-sama beroleh syurga yang sangat kita impikan di pengakhiran sebuah perhitungan.



Wahai sahabatku,

Cinta itu letaknya di hati dan hati itu milik Allah. Tidak mungkin kita dapat menyentuh hati seseorang tanpa izin Allah dan jika Allah tidak mengkehendaki. Tidak patut kita serahkan hati kita yang dimiliki Allah itu kepada orang lain untuk dikuasai atau diperintah. Bahkan memang sepatutnya kita serahkan jiwa dan raga kita seluruhnya kepada Allah. Adapun rasa cinta yang lahir sesama manusia itu hanya jalan menuju cinta Allah. Janganlah sekali-kali kita menukarkan tujuan cinta di hati yang sepatutnya untuk Allah kepada manusia hanya kerana kita dapat melihat kecantikan manusia dan kita tidak dapat melihat Allah, kita cuma merasa dan melihat kecantikan segala ciptaan-Nya. Kita lupa dan selalu tidak sedar hakikat segala kecantikan itu adalah milik Allah. Jadikanlah cinta kepada manusia itu sebagai jalan menuju Tuhan, bukan matlamat dan pengakhiran destinasi cinta. Maka engkau akan lebih tenang menerima segala penolakan.

Wahai sahabatku,

Hati kita meronta untuk mencintai dan dicintai. Alangkah remuk redamnya hati tatkala apa yang kita cintai tidak kita miliki. Alangkah kecewanya jiwa tatkala cinta kita tidak dibalas oleh orang yang kita cintai. Ternyata hati itu bukan milik kita, ia milik Allah. Kita tidak bersalah tatkala cinta itu lahir terhadap seseorang, tetapi kita keterlaluan tatkala kita memaksa ia kepada seseorang. Bukankah sepatutnya kita redha dengan ketentuan Allah yang tidak menumbuhkan cinta terhadap kita di hati orang yang kita cintai? Alangkah zalimnya kita tatkala kita tidak dapat menerima apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Sedangkan saban hari kita sering tidak menghargai cinta Allah, kita tidak pula membalas segala anugerah cinta yang Allah berikan kepada kita pada setiap hembusan nafas, pada setiap detik kehidupan yang kita lalui. Bukankah Allah lebih layak untuk murka kepada kita kerana kita tidak membalas-Nya dengan ketaatan yang sepatutnya?

Wahai sahabatku,

Allah menjanjikan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Yakinlah akan janji Allah, sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji. Perbaikilah setiap inci kehidupanmu agar engkau termasuk di kalangan orang yang beroleh pasangan yang baik. Allah tahu tentang dirimu lebih daripada engkau sendiri. Maka Allah telah menetapkan untukmu lebih baik daripada apa yang engkau kehendaki. Boleh jadi engkau cintakan sesuatu tetapi ia buruk bagimu dan begitu juga sebaliknya. Pada setiap persimpangan kehidupanmu, apakah engkau merasakan bahawa Allah tiada bersamamu? Bahkan dia sentiasa mendengar dan melihatmu. Persoalannya, apakah engkau sudah merintih pada-Nya, meminta pada-Nya dan memperlihatkan apa yang sepatutnya kepada –Nya? Aku berlindung dengan Allah daripada menjadi hamba yang kufur dan lupa diri.

Wahai sahabatku,

Sungguh cinta itu telah menjadi faktor yang dapat mengubah sesuatu kepada lebih baik atau sebaliknya. Ada manusia biasa yang berubah menjadi wali kerana kuasa cinta, dan ada pula yang bisa menjadi hina kerana dikuasai cinta. Ya, tamadun itu berkembang dan boleh jadi hancur kerana cinta. Tidakkah engkau melihat Taj Mahal yang terbina kerana cinta? Sebaliknya, ada pula yang membunuh kerana cinta. Persoalanku kepadamu, apakah engkau ingin berubah kerana cinta ke arah Redha Allah atau mungkin lebih jauh daripada Allah?

Wahai sahabatku,

Aku tidak mengatakan bahawa aku mengetahui segala isi hatimu atau segala kekacauan yang mengisi jiwamu. Aku cuma ingin berpesan agar engkau tidak meletakkan keinginanmu lebih tinggi daripada ketentuan Allah. Aku ingin engkau mengerti bahawa milik Allahlah segala kejadian. Kemudiannya aku ingin engkau membawa kefahaman tersebut kepada pengamalan dalam kehidupan yang kau lalui agar ia hidup bersamamu di dalam setiap inci kehidupan. Janganlah engkau mengatakan bahawa engkau mentaati Allah di saat hidupmu bergelumang dengan jahiliah. Aku juga sepertimu, anak muda yang bergelora jiwanya. Maka aku berpesan kepadamu agar aku juga dipelihara Allah daripada segala penyelewengan dalam memahami hakikat cinta. Aku memohon keampunan kepada Allah atas segala kesalahan yang kuungkapkan dan kumohon kau doakanlah kebahagiaanku di dunia dan di akhirat. Moga kita dipertemukan Allah untuk hidup di syurga yang kekal selama-lamanya.

Wahai sahabatku yang kecewa,

Bersabarlah…


p/s: Telah tercatat seungkap nama lelaki/perempuan di Luh Mahfuz untukmu. Cuma peribadinya ditentukan oleh sejauh mana ketinggian peribadimu. Jika kau tetap di atas jalan yang di redhai-Nya, InsyaAllah si dia turut di jalan yang sama. [also taken from iluvislam]

“Dan berapa banyak nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar daripada pengikutnya yang bertakwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka pada jalan Allah, tidak lesu dan tidak pula menyerah kepada musuh. Allah menyukai orang-orang yang sabar.” Surah Ali-Imran:146

Friday, August 27, 2010

Pericoronitis

Assalamualaikum wbt

Lagi update kali ni..

Manja sangat la pulak gigi ni...

Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan ‘Inna lillaahi wa innaa ilaihi roji’uun’. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk ”. (QS. Al-Baqaroh : 155-157).


Tidaklah seseorang muslim ditimpa keletihan, penyakit, kesusahan, kesedihan, gangguan, kegundah-gulanan hingga duri yang menusuknya, melainkan Allah akan menghapuskan sebagian dari kesalahan-kesalahannya”. (HR. Bukhari no. 5641).



Masalah pada gigi bongsu

Gigi yang berdesakan

Kerana gigi bongsu tumbuh paling akhir, terkadang rahang tidak memiliki tempat yang cukup untuk gigi bongsu tumbuh dengan wajar. Akibatnya gigi bongsu mendesak gigi geraham yang berada di depannya. Hal ini akan mengakibatkan sakit pada gigi. Masalah ini umumnya diatasi dengan mencabut gigi bongsu yang baru tumbuh. Bila gigi bongsu menempati posisi yang sulit untuk dicabut, yang dicabut adalah gigi geraham yang terdesak sehingga gigi bungsu mendapat tempat yang cukup untuk tumbuh.


Gigi yang tidak muncul sempurna pada gusi

Kadangkala gigi bongsu tidak muncul dengan sempurna pada gusi. Gusi yang menutupi gigi dapat menyebabkan penumpukan sisa makanan dan bakteria yang boleh menyebabkan infeksi dan sakit pada gigi.


p/s: Sayangi gigi anda

Thursday, August 12, 2010

Amir dan 1 Ramadhan

Assalamualaikum wbt

Ramadhan Kareem...




CERITA 1:

POCOYO cuma satu rancangan kartun 3D di TV3 yang menarik dan comel..
Bila Pocoyo senyum, macam tak nampak mata..



Sama macam Amir..



17 Julai 2010

Perjalanan balik ke kampus kali ini panjang dan agak meletihkan kerana singgah ke KL sekejap untuk ke Zaaba. Setibanya di Medan Gopeng, escort dan bodyguard sekalian masih belum sampai lagi...tapi senyuman Amir buat saya pandang ke arahnya dua kali...
[dan kemudian banyak-banyak kali]

Walaupun dalam ribaan ibunya, Amir tak takut orang..mudah saja dia tersenyum...matanya macam mata Pocoyo tersenyum..nampak gigi dua batang baru nak tumbuh, dengan pipi yang sangat tembam...adorable...subhanallah


Tak jadi saya nak ke arah kedai, terus duduk di kerusi belakang Amir dan ibunya. Kerana Amir, saya berborak-borak dengan ibunya,
[dan tahu namanya Amir]. Baby 9 bulan tu tak banyak kerenah walaupun sudah lama di ribaan ibunya yang hampir menjejak usia 40 tahun. Di usia baby yang baru mula nak menapak, biasanya jarang mahu duduk diam.


Bunyi bising dan hangat di stesen bas tak mengganggu Amir..dia ralit bermain kunci di tangan ibunya..Sekali diagah ibunya, dia ketawa senang hati..


"Sejuk hati tengok dia," kata ibu Amir.'Mana taknya, kak, saya tengok pun rasa sejuk hati,' hati saya berkata.

"Doktor dengan nurse pun nak ambil dia dulu," si ibu bercerita pengalaman selepas bersalinkan Amir."Ada Cina nak bayar beribu-ribu untuk dapatkan dia," si ibu terus bercerita sambil memandang buah hati kesayangannya. Memang kalau kata Amir tu anak cina pun orang percaya. Boleh masuk Pa&Ma. Bagi sejuta pun, si ibu dan sang ayah tak akan bagi kepada orang lain.
Si ibu dan Amir sedang menunggu sang ayah yang bekerja di stesen bas. Dari kisah Amir, sehingga kisah silam rumahtangga si ibu, dia bercerita kepada saya. Terasa seperti tidak wajar untuk tahu, tapi sudah diceritakan..saya memasang telinga memberi perhatian..Walaupun sekali sekala perhatian itu beralih kepada Amir yang sungguh comel dan gembira.
"Akak bukan orang sini, akak orang Johor. Keluarga pun tiada, adik beradik pun tiada kat sini," si ibu seolah mengadu nasib. Seronok bertemu orang senegeri agaknya, mudah dia bercerita pengalaman dan kisah hidupnya.

"Masa mengandung Amir, akak rasa tiap-tiap hari akak menangis. Lepas kemas rumah dan siap-siap masak semua, akak suka terperap dalam bilik, solat, mengaji. Masa nak bersalin, sekejap je. Masa sakit akak cakap dengan dia, 'Mak sakit ni, janganlah seksa mak. Kalau anak soleh keluarlah.' Sungguhlah, tak lama selepas itu, Amir pun lahir dengan selamat.

Kalau sekarang ni pun akak menangis depan Amir, dia gelak dan pegang dahi akak. Agaknya dia nak cakap, 'Sudahla tu, ma.' Kalau akak merajuk dengan dia, dia jerit, 'Ma! Ma!' sambil tarik-tarik."

"Nak jaga dia ni yang paling senang. Kalau akak nak buat kerja di dapur, letak dalam kerusi baby, suruh dia duduk diam-diam. Mak nak buat kerja. Dia pun duduk tengok tv,"
si ibu bercerita bahagia tentang Amir nan seorang.


Mendengarkan kisah hidupya dulu hingga sekarang, ternyata Allah Maha Adil.. Ini merupakan perkahwinannya yang kedua, tetapi yang kelima buat suaminya. Amir adalah anak ke 13 untuk suaminya. Perkahwinannya yang pertama runtuh selepas mendapat tahu adiknya yang dijaga selepas didera adik iparnya [suami adiknya] mempunyai hubungan sulit dengan bekas suaminya [masih lagi suaminya ketika itu] sendiri. Anak-anaknya di Johor seramai 4-5 orang dijaga oleh makciknya yang tidak memiliki anak. Sekali-sekala dia mengirim berita kepada anak-anak yang dirindui. Ternyata perkahwinannya ini pun tidaklah seindah yang disangka. Masih ada ujian yang menimpa...

Walau ujian-ujian yang menimpa si ibu ibarat cerita-cerita sedih di novel mahupun cerpen, tapi Allah hadiahkan sesuatu yang sangat berharga untuk dia yang tak didapati pada kebanyakan orang yang lain.

Seusia 9 bulan pun, Amir sudah faham dan merasai keperitan-keperitan si ibu. Bahkan sudah pun menjadi mangsa buli abang dan kakak tirinya [muka dengan tangannya pernah kena conteng dengan adik beradik tirinya]. Tapi, Allah campakkan rasa bahagia di hati-hati mereka. Melihatkan gelagat Amir, sesiapa pun pasti terhibur. Terasa lupa kepenatan tadi...


Semoga menjadi anak soleh, penyejuk mata.


****************************************

CERITA 2

12 Ogos 2010

1 Ramadhan, cuaca terik dirasai memandangkan ku mula meninggalkan bilik sejak tengahari, untuk perhentian-perhentian yang pelbagai..

Pulang dari bazar Ramadhan yang sendat dengan orang, kami singgah di Rahmat, membeli keperluan..
Jam menunjukkan sudah lebih kurang pukul 7.00 mlm..waktu berbuka hampir tiba..kami tersenyum mengenangkan destinasi perjalanan hari ini akan tamat sebaik sahaja tiba di kampus..maka tidaklah kami menunggu lama masuknya waktu berbuka..

Sebaik melepasi traffic light di simpang 4 Taman Maju menghala ke kampus, terlihat seorang wanita mengendong bayi dan memimpin seorang anak kecil menuju ke arah yang sama..

Hati mula pelik, di tepi highway, di waktu begini..bukannya ada rumah di kawasan berhampiran..
Kami berhenti, menyapa kakak tersebut.

"Nak ke mana, kak? Nak kami tumpangkan?" manalah tahu sedang menunggu suami...

Terus wanita tersebut menangis tersedu-sedu...Kami terkesima..Sah, something really goes wrong somewhere...

"Akak kena pukul dengan suami. Akak tak tahan dah. Dah tiga tahun dah," kelihatan muka akak tersebut bengkak..sehinggakan butir katanya pun ada yang tak jelas..

"Masuk kak, biar kami hantarkan," terkedu...Dengar sendu si ibu sambil memangku anak-anak yang tak faham apa yang berlaku...Asalnya kakak tersebut mahu kami hantarkan ke rumah ibunya di Tronoh, tapi kemudiannya dia meminta kami singgah ke rumah kakak iparnya [kakak suaminya] untuk melihat kalau-kalau si suami yang 'berbudi bahasa amalan mulia' tersebut ada di sana. Tiada.

"Suami akak memang ada sakit jiwa sikit. Kena ambil ubat. Tak boleh tertekan. Kerana nak buang kobis busuk je, terus dia angin sampai jadi macam ni."

"Sabarlah kak," kami cuba menenangkan. "Akak puasa?"

"Puasa. Kita jaga anak, kemas rumah, puasa pun tak ada marah-marah. Akak tak mahu duduk dengan dia lagi. Biarlah akak jaga anak-anak," setiap bait jawapannya diiringi tangisan...

"Kalau akak cerita dengan mak akak pun, dia marah akak juga. Akak kahwin ni pilihan mak akak. Akak tak bantah pun walaupun akak ada pilihan sendiri. Ingatkan pilihan mak ni baik, rupanya jadi macam ni."

"Masa kahwin dulu, tak tahu ke suami akak sakit?" terasa ingin tahu pula.

"Dah pilihan mak, dik." Bertambah-tambah terkedu. Hanya mampu minta dia bersabar. Tabah sungguh. Tiba-tiba dia menghulur tangan kanannya dari belakang. Terganggu seketika pemanduan ketika itu. Apa yang cuba ditunjuk akak ni.

"Tengok ni, jari akak pun sampai patah dibuatnya," tergamam lagi....Panas hati. Kami memintanya he hospital atau klinik, tapi dia enggan.

"Macam mana suami akak pukul?" "Dengan tangan, jari akak ni dia pijak. Pernah juga pisau sampai ke leher."

'Tak boleh jadi ni,' hati berbisik...

Sedang kami menghala ke Tronoh, akak tersebut meminta tolong kami menghantarnya ke rumah seorang pakcik dan makcik di Belanja. Dia dan suami memang kenal keluarga yang baik tersebut, bahkan mereka pernah saling bertandang ke rumah masing-masing. Tak putus-putus dia meminta maaf kerana menyusahkan. Tapi bagaimana kami mampu meninggalkan dia menangis sendirian di waktu orang lain sedang berpusu-pusu berbuka puasa 1 Ramadhan di rumah.

Si kecil Zaid [baby] mula merengek. Kami singgah sebentar di rumah akak tersebut untuk mengambil keperluan anak-anak kecil tersebut, setelah memastikan rumah tersebut kosong dan suaminya tiada di rumah. Sudah terbayang juga buah-buah silat yang semakin berkarat yang akan dikeluarkan andai kata perkara tak diingini terjadi. Bahkan sudah terfikir orang-orang yang nak dihubungi sebagai bodyguard jika tiba-tiba suami akak tersebut muncul dan membuat haru.

Sekadar gambar hiasan

Berbuka kami di dalam kereta sementara tiba di daerah yang dituju..Setibanya di rumah yang berkenaan, akak tersebut meluru masuk. Diluahkan segala yang terbuku. Pakcik tersebut menggeleng kepala.... Selesai berurusan, kami meminta diri...

Sepanjang perjalanan pulang, yang semakin gelap, kami masih berbincang akan cerita tersebut...
Semoga apa yang kami lakukan ini bermanfaat... masih rasa gagal menjadi konsultan yang baik, sebab saya sendiri tak jelas apa langkah seterusnya jika hal sedemikian berlaku..
Seolah-olah drama tv3 berlaku depan mata...

**********************************


p/s: Wahai suami, isterimu adalah amanah!!
Kasihan pada anak-anak yang menjadi mangsa..


Monday, August 9, 2010

Bisikan Rahsia

Assalamualaikum wbt..

Perkongsian lagi....

********************************

Musibah adalah fitrah kehidupan, ia bagaikan badai dan gelombang di lautan. Ujian bagaikan cemeti kehidupan, justeru itu ramai yang menyangka Allah menjauhinya, tidak menghiraukannya, malah ada yang berburuk sangka padaNya. Renunglah wahai diri dengan cahaya hatimu.

Fahamilah, musibah adalah seruan untuk hamba itu kembali ke dalam dakapanNya. Bagaikan cemeti sang pengembala kepada ternakannya, ia agar ternakannya kembali ke kandang.

Kita lalai, angkuh, lupa diri dengan sedikit kelebihan atau menlanggar ajaranNya. Hadapilah dengan redha, sabar, tenang, bersegera bertaubat dan sujud kepadaNya.

Yakinilah, Allah tidak menzalimi hambaNya, Allah amat menyayangi dirimu. InsyaAllah pada segala kesulitan itu akan datangnya kerahmatan.

"..dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya." Fussilat:46


********************************************

Ombak dan angin hanyalah pukulan cemeti
untuk menguji sang kekasihNya
kepedihan dan kesakitan
diterima dengan senyuman kegembiraan

Kekasih yang tenggelam dalam cinta
tiada melihat cemeti pada jiwanya
segalanya bagaikan belaian dan pelukan sang kekasihnya
tiada mahu dirinya jauh daripada dakapanNya

Bagaimana mahu memahami ini
jika ammarah menyelubungi jiwa
pandangannya menjadi kabur
cemeti dianggap kemarahan
timbulnya sangkaan terhadap penciptaNya

Ibu yang melahirkan pasti menyayangi
apalagi diriNya yang mencipta
dengan namaNya Ar-Rahman dan Ar-Rahim

dari tiada menjadi air
dari air menjadi darah
darah menjadi daging
kemudian dicipta tulang
dan dibungkusnya dengan sifat yang indah
kemudian ditetapkan takdirNya
dipeliharaNya dengan sifat RabbNya

hati yang disihir
tiada merasai kasih sayangNya
tiada merasai belaianNya
tiada mendengar bisikan cintaNya
tiada merasai kehampiranNya

Sebutlah namaNya degnan penuh renungan kecintaan
necaya Dia akan menyebut namany dengan kecintaanNya
jangan diisi nama yang lain dalam istanaNya
nanti istanaNya akan suram tanpa cahaya dan keindahan

Marilah,
Marilah kembali kepada cintaNya
kembali dalam dakapanNya
kembaku menghadap pada WajahNya
Dia menunggumu dan sentiasa membuka tanganNya
untuk memelukmu kekasihNya

Dipetik keduanya dari Bisikan Sirr


p/s: Ya Allah, jadikanlah kami tergolong dalam hambaMu yang sabar..


Tuesday, August 3, 2010

.::Carta Lagu 16: KepadaNya::.

Assalamualaikum wbt..

Sharing lagu lagi, syukran buat sahabat yang berkongsi lagu=)

***************************************************

Tajuk : KepadaNya

Penyanyi : Taufik Batisah ft Hady Mirza


Jiwa terseksa

Hina terasa

Berikan ku pelita

Hadirkan cahaya


Ku masih tertanya

Kemana arahku

Untuk hidup di dunia

Beriku pertanda


Chorus:

Wahai manusia
Sedarlah dirimu

Hidup di dunia, hanya sementara

Dekatkan diri padaNya

Biar terluka

Hapuskan sangsi mu

Ialah petunjuk buat segalanya

Arahkan diri padaNya


Arahkan dirimu...

KepadaNya


Dan bila kau tertanya

Kemanakah hala jalan, hidupmu

Ialah jawapan, untukmu


p/s: Both are Singaporean. Credit to Kak Ina yang rajin nak mengexplore=)

Monday, August 2, 2010

Touched

Assalamualaikum wbt..

Mencari-cari makanan rohani dan jiwa di kala kemarau dan la nina berserabutan melanda...

Terjumpa suatu bacaan, menjentik hati...hati yang terbuka ingin menerima..untuk pedoman masa kini dan akan datang..dalam apa jua situasi yang mungkin akan menimpa kita..

Full article is taken from here.

*************************************************


Allah telah mengingatkan kita dalam surah Yunus ayat 36 dengan menegaskan, ‘‘Prasangka itu tidak mendatangkan kebenaran apa pun.” Oleh itu jika tercetus sesuatu isu antara kita dan terwujudnya perbezaan pendapat atau terbentuk sesuatu teguran ia seharusnya ditangani dengan sebijak-bijaknya.

Janganlah kita terlalu gopoh ke hadapan dengan membuat andaian yang bukan-bukan atau berhujah dengan penuh emosi sehingga terwujud cabar-mencabar.

Sebaliknya teguran atau sesuatu pandangan itu perlu diteliti dan dihalusi sertai dikaji kebenarannya. Ini kerana perbuatan menegur orang yang melakukan kesalahan merupakan tindakan yang amat diperintah oleh Allah.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah mengingatkan bahawa sesuatu kebenaran itu perlu dinyatakan biarpun pahit dan baginda juga menegaskan,

‘‘Siapa sahaja di antara kalian yang melihat kemungkaran, maka tegurlah dengan tangannya (kekuasaannya). Jika tidak mampu, maka tegurlah dengan lisannya. Jika tidak mampu juga, maka tegurlah dengan hati. Namun, ini adalah keimanan paling lemah.”

Islam telah menggariskan dalam membuat teguran, kita haruslah berhati-hati apatah lagi jika kita cuba bertindak sebagai ‘orang perantaraan’ bagi menjelaskan sesuatu perkara.


PANDUAN

Tiga faktor yang digariskan oleh Islam boleh menjayakan sesuatu teguran itu ialah, pertama, tidak merendahkan ego orang yang ditegur, kedua mencari waktu yang tepat dan ketiga memahami kedudukan orang yang ditegur.

Hakikatnya, Islam memberi panduan yang jelas dalam kita memberi teguran dan bagaimana sikap kita apabila ditegur. Kita tidak harus melatah apatah lagi terlalu emosional sehingga menyebabkan kita melafazkan kata-kata yang tidak sepatutnya.

Semua itu tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya hanya akan mengeruhkan lagi keadaan, tidak kira sama ada kita pemimpin atau tidak tetapi apa yang kita perkatakan pasti akan dinilai oleh manusia dan diperhitungkan oleh Allah.

Kegagalan untuk mengawal perasaan kita berhujah akan menyebabkan berlaku tuduh-menuduh yang kesudahannya akan mencetus permusuhan antara kita.

Rasulullah s.a.w bersabda,

‘‘Percakapan orang yang berakal muncul dari balik hati nuraninya. Maka ketika hendak berbicara, terlebih dahulu ia kembali pada nuraninya. Apabila ada manfaat baginya, dia harus bercakap dan apabila ia boleh mendatangkan keburukan,
maka dia hendaklah tidak melafazkannya. Sesungguhnya hati orang yang bodoh berada di mulut,
ia berbicara sesuai apa sahaja yang dia mahukan’'.

Seperkara lagi dalam kita berhujah atau mempertahankan sesuatu elakkan daripada memalsukan fakta apatah lagi membuat pujian yang bukan-bukan kepada seseorang ini.

Ia disebabkan pujian yang melampau itu adalah bencana lidah (min afat al lisan) yang sangat berbahaya.

Dalam buku Ihya 'Ulum al-Din, Imam Ghazali menyatakan enam bahaya (keburukan) yang mungkin timbul daripada budaya memuji tersebut iaitu empat keburukan kembali kepada orang yang memberikan pujian dan dua keburukan lainnya kembali kepada orang yang dipuji.

Bagi pihak yang memuji, keburukan yang akan diperoleh ialah melakukan pujian secara berlebihan sehingga menjerumus ke dalam dusta, dia memuji dengan berpura-pura menunjukkan rasa cinta dan simpati yang tinggi sedangkan dalam hatinya adalah sebaliknya, ia menyatakan sesuatu yang tidak disokong oleh fakta sebaliknya pembohongan semata-mata dan dia telah menggembirakan orang yang dipuji padahal orang itu melakukan kesalahan.

BANGGA

Dua keburukan yang menanti orang yang dipuji pula ialah dia akan merasa sombong (kibr) dan bangga diri (ujub) - kedua-dua adalah penyakit yang boleh ‘mematikan’ hati seseorang dan keburukan kedua, orang yang dipuji akan merasa hebat, tidak perlu bersusah payah dan bekerja kuat.

Kesimpulannya, dalam apa juga yang kita lakukan berkaitan dengan lidah yang melahirkan kata-kata kita harus berhati-hati, tidak kiralah sama ada ia teguran, pujian, kenyataan atau berhujah.

Ini kerana setiap apa yang diperkatakan akan diperhitungkan di akhirat kelak apatah lagi jika ia berkaitan dengan soal kebenaran dan kebatilan.

Justeru jadikanlah firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 104 dan 105 sebagai pegangan, maksudnya;

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang mengajak kepada kebajikan dan menyuruh kepada makruf dan mencegah dari kemungkaran dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.

“Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka dan mereka itulah orang-orang yang akan mendapat azab yang berat.”