Pages

Wednesday, July 1, 2009

Muda yang Tua

Assalamualaikum wbt..

Lama juga tak berkesempatan menulis...

Sepanjang berintensi, hampir setiap malam dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti..
Alhamdulillah, sekurang-kurangnya tidaklah menjadi penonton setia Keliwon, Datin Wan Abe, Nur Kasih mahupun BioNik. Kami ibarat pengkritik tak berbayar melihatkan cerita yang tersiar. Cinta, konflik cinta, khurafat, harta....begitulah seterusnya.

Cerita hantu, maka akan ada bomoh, asap, jeritan, kadang-kadang tiada pun takbir, azan mahupun doa....[contoh2 kritikan=)]

Pernah sekali saya menghadiri satu ceramah. Kami tiba agak terlambat sebenarnya. Tiba di rumah sekitar maghrib tadi, bergegas warga rumah memasak dinner. Usai solat isyak, kami pun berangkat ke tempat ceramah yang jauhnya lebih kurang 15 minit perjalanan. Ramai orang sudah memenuhi tempat ceramah. Bersimpuh kami di lantai surau bersama-sama sebilangan muslimat yang lain. Dari kanak-kanak perempuan seumur 2 tahun hinggalah kepada makcik yang boleh ku panggil nenek.

Sedang semua warga hadirin hadirat tekun mendengar ceramah, sekali sekala disampuk gelak ketawa, lucu dengan kata-kata tuan penceramah. Melangkah ke depan beberapa orang makcik, mengajak seorang nenek yang duduk bersandar di sliding door surau.

Makcik itu mengajak nenek ke depan, supaya dapat mereka melihat tuan penceramah dan lebih jelas menekuni ceramah.

"Kamu pergi dulu, nanti aku ikut," balas nenek itu. Sebelah tangannya mengurut-ngurut kaki yang dilunjur. Beberapa kali makcik-makcik tersebut mengajak, nenek itu tetap mengatakan dia akan menuruti kemudian.

Selepas kawan-kawannya berlalu, perlahan-lahan nenek itu bangun. Nampak susah untuk bangun, tapi dikuatkan juga dirinya untuk berdiri. Dia bangun perlahan-lahan, bongkok sambil berpaut pada sliding door. Dan perlahan-lahan juga dia melangkah sedikit terhincut-hincut meninggalkan kami menuju kepada kawannya, yang kini sudah berada di hadapan.

Saya? Ingin sangat menolong, tapi tiba-tiba rasa kelu, kaku. Air mata rasa bergenang. Besarnya nikmatMu ya Allah. Nikmat kesihatan, nikmat usia muda, nikmat hidayah. Dan nenek itu, lesap dari pandangan, lebih depan, lebih ingin memenuhi dada dengan ilmu. Saya? masih kaku..

Orang yang kurang nikmat kesihatan masih mahu bersungguh-sungguh mencari ilmu, inikan pula kita yang masih Allah berikan nikmat kesihatan...Subhanallah.


Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan Muslim daripada Amru bin Maimun r.a, bahawa pada suatu hari Rasulullah SAW telah menyampaikan pengajarannya kepada seorang lelaki dengan sabdanya yang bermaksud:

" Rebutlah peluang lima perkara sebelum datang lima perkara yang lain, iaitu masa muda engkau sebelum datangnya hari tua, masa sihat engkau sebelum engkau dilanda sakit, masa kaya engkau sebelum engkau jatuh papa, masa lapang engkau sebelum datangnya waktu sibuk, dan masa hidup engkau sebelum datang saat kematian."

Disebut dalam buku "Taqwa" karangan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz b Nik Mat:

Masa muda itu diberi dengan tidak payah diminta. Masa muda jangan dibiar berlalu tanpa erti, kerana masa muda itu pernuh dengan kecergasan fizikla dan mental. Pergerakan jasmani yang kuat untuk melakukan sesuatu pekerjaan atau amal, dan mental remaja yang segar memberikan ruang yang cukup bagi mencapai berbagai-bagai ilmu pengetahuan dan pengalaman.

Masa muda tidak akan bertahan, kerana usia akan menjangkau dewasa dan akhirnya tibalah masa tua. Masa muda yang diberi secara percuma oleh Allah SWT itu, akan ditanya semula pada hari perhitungan kelak kerana usia muda itu bukan sahaja suatu anugerah tetapi juga adalah suatu amanah.

Dan sekarang, ku sudah menginjak dewasa. Dua lagi level hidup yang insyaAllah akan ditempuhi. Alam perkahwinan, alam ibu bapa. Kemudian, tidak akan banyak berubah, sehingga tiba masa kita dipanggil pulang.


" Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putus." Surah at-Tin:4-6

p/s: Masih tidak bersedia untuk pulang. Ampuni kami, Ya Allah.

0 comments: